Tuesday, 1 November 2011

10 kelebihan pertama di bulan Zulhijjah



Sepuluh hari yang pertama di bulam Zulhijjah jarang-jarang sekali diperkatakan mengenai kelebihannya. Sedangkan tempoh ini mempunyai nilai yang sangat besar kemuliannya berbanding dengan masa-masa yang lain. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fajr, ayat 1-3 :
وَالْفَجْرِ . وَلَيَالٍ عَشْرٍ . وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ
yang bermaksud : Demi fajar,  Dan malam yang sepuluh, Dan yang genap dan yang ganjil

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil tersebut ialah hari arafah.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Nabi SAW telah bersabda :
ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام (يعني العشر)، قالوا: “يا رسول الله، ولا الجهاد في سبيل الله؟” قال -صلى الله عليه وسلم-: “ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء”.
Yang bermaksud :
Tidak ada amalan soleh yang lebih disukai oleh Allah SWT lebih daripada (amalan) pada hari-hari ini (iaitu sepuluh hari bulan zulhijjah). Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, sekalipun dengan jihad di jalan Allah?”. Rasulullah SAW menjawab, ”Sekalipun dengan jihad. Kecuali jika seseorang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak kembali lagi (mati syahid)”

Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah ini sehingga tidah dapat ditandingi oleh mana-mana amalan pun kecuali mati syahid.

Manakala kelebihan hari arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah SAW ketika menafsirkan ayat ke 3 dari Surah al-Buruj :
الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ
Yang bermaksud : Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat. (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Di dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda :
أفضل الأيام يوم عرفة
Yang bermaksud : Sebaik-baik hari ialah hari arafah (Riwayat Ibnu Hibban di dalam sahihnya)

Di dalam hadis yang lain pula, sabda baginda SAW lagi :
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Yang bermaksud : Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SAW akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari arafah.(Riwayat Muslim)

Bagaimana beribadat pada 10 Hari Pertama Zulhijjah Ini?

Di antara ibadat yang boleh diperbanyakkan pada tempoh ini ialah puasa sunat khususnya pada hari wukuf di arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda :
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Yang bermaksud : Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang (Riwayat Muslim)

Selain itu, seseorang muslim digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, bacaan al-Quran, qiyam dan sebagainya untuk mendapatkan ganjaran sebanyak mungkin di dalam tempoh yang amat berharga ini.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
29 November 2008


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Design by !Aini Zakaria |All right reserved for Village Gurl ©