Wednesday, 29 June 2011

Panduan Solat Istikharah

Quantcast
Definisi

Istikharah adalah perkataan Arab yang berasal daripada kata dasar ‘khayara’. Daripada kata inilah terbitnya juga perkataan ikhtiar yang bermaksud pilihan. Apabila ditambah huruf hamzah wasl, sin dan ta di hadapan perkataan ini yang menjadikan ianya disebut istakhara, maka ia bermaksud meminta pilihan. Seperti perkataan ‘ghafara’ yang bermaksud ampun, apabila ia menjadi perkataan istighfar maka ia bermaksud meminta keampunan.
Perkataan ‘khairun’ berasal daripada kata dasar (khayara) inilah juga. Ianya bermaksud pilihan yang terbaik. Dalam azan solat subuh ada lafaz ‘al-solah khairun min al-naum’ bermaksud solat itu lebih baik daripada tidur. Iaitu pada waktu itu terdapat dua pilihan antara tidur dan bangun mendirikan solat, maka lafaz azan yang mengandungi perkataan ‘khairun’ itu memberikan penegasan bahawa antara keduanya itu, solatlah yang terlebih baik.
Jadi solat istikharah itu didefiniskan sebagai solat yang dilakukan semata-mata kerana ingin mendapat petunjuk Allah (melalui solat) kerana kita berhadapan dengan dua atau pelbagai pilihan. Kerana hanya Allah SWT yang amat mengetahui perkara-perkara yang terbaik dan apa yang baik untuk diri kita sebagai hambaNya. Maka sepatutnyalah kita mengadu dan memohon agar Allah membantu dalam membuat pilihan.
Kamus Dewan Ed. Keempat (2007) menjelaskan solat istikharah bermaksud: sembahyang untuk memohon pedoman daripada Allah bagi memilih jalan yang lebih baik antara dua pilihan. Manakala dalam laman wikipedia
Solat Sunat Istikharah ditafsirkan sebagai “solat sunat yang didirikan untuk meminta petunjuk yang baik, apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu-ragu dalam mengambil keputusan. Oleh itu kita memohon kepada Allah menunjukkan kepada kita pilihan yang terbaik”.


Syariat

Solat Istikharah ini adalah salah satu daripada syariat (Ajaran) Islam. Ia disandarkan kepada beberapa hadis daripada Rasulullah SAW. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh kedua-dua iman Bukhari dan Muslim daripada Jabir ra bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kami solat istikharah. Sabdanya “Apabila kamu dilanda kekusutan terhadap sesuatu, maka hendaklah dikerjakan solat dua rakaat kemudian berdoa” Dengan doa yang akan disebutkan di bawah ini insyaAllah.
Solat ini hukumnya adalah sunat. Ia boleh dilakukan bagi memohon petunjuk Allah atas perkara-perkara harus yang menjadi kesamaran kepada umat Islam untuk membuat pilihan. Maksudnya di sini ialah, tidak boleh dilakukan solat sunat istikharah ke atas perkara wajib seperti untuk persoalan adakah perlu aku tunaikan zakat? Haji? Mengenakan tudung (pakaian menutup aurat)? dan lain-lain yang diketahui ia sebagai tuntutan wajib ke atas umat Islam.
Begitu juga tidak boleh dilakukan solat istikharah atas perkara-perkara yang telah nyata haram. Seperti keinginan untuk membuat pinjaman ataupun tidak dengan AhLong yang jelas melibatkan amalan riba, ataupun sama ada ingin melayan atau tidak mengendahkan permintaan rasuah daripada orang yang meluluskan sesuatu perkara/projek dan sebagainya. Sepatutnya mereka terus sahaja tidak membuat pinjaman AhLong yang melibatkan riba dan tidak memberi rasuah. Tidak ada ruang untuk beristikharah dalam perkara berkenaan lagi.
Sebaliknya solat istikharah itu dituntut atas perkara-perkara yang harus seperti ingin memilih jodoh, menerima pinangan, atau membuat pilihan di antara dua atau lebih tawaran pekerjaan halal, atau membuat pilihan sama ada ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sesuai, dalam negeri atau luar negeri dan sebagainya.

Cara solat

Kaifiyat atau cara-cara mengerjakan solat sunat Istikharah ini sama seperti solat-solat sunat yang lain. Ia dikerjakan sebanyak dua rakaat berdasarkan kepada hadis sahih di atas. Imam al-Nawawi (1993:157) mencatatkan bahawa solat sunat ini terlaksana sama ada apabila seseorang mengerjakan solat rawatib (qabliyah atau ba’diyah) selepas solat fardhu, solat sunat tahiyatul masjid atau solat-solat sunat yang lain. Yang membezakannya adalah doa yang dibaca selepas solat itu. Sekiranya ia membaca doa istikharat (yang akan disebutkan di bawah) maka solat yang dikerjakan itu dikira sebagai solat sunat istikharah.
Kebanyakkan ulama mengkuhuskan solat sunat yang lain daripada solat rawatib dan sebagainya sebagai solat Istikharah. Maksudnya, ia adalah solat yang khusus untuk beristikharah, dengan niatnya yang khusus bahawa ia akan mengerjakan solat istikharah. Seperti niatnya ’sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala”. Mereka juga ada menentukan masa seperti selepas tengah malam atau sebelum subuh bagi mengerjakan solat ini.
Bagi ana, solat sunat Istikharah ini boleh dilakukan sama ada secara bersama dengan solat-solat sunat yang lain, pada waktu-waktu kebiasaan seseorang melakukan solat sunat. Selepas atau sebelum solat fardhu. Contohnya bagi mereka yang datang awal ke masjid, selepas azan zohor, mereka biasa melakukan solat qabliyah zohor, jadi diniatkan untuk beristikharah (baca doa istikharah) selepas solat tersebut. Sejurus selepas solat, ia berdoa dengan doa istikharah maka insyaAllah, ia akan memperolehi pahala solat qabliyah dan solat istikharah secara sekaligus seperti pahala puasa syawal bagi mereka yang melakukan puasa qadha.
Ataupun anda boleh memilih sama ada ingin memperuntukkan waktu yang khusus bagi solat ini pada waktu-waktu yang selesa bagi anda untuk mengerjakannya. Yang penting adalah keikhlasan dan penyerahan diri kepada Allah SWT secara sepenuhnya (sama ada kita berada dalam kesenangan mahupun waktu-waktu sukar dan mencabar).
Bacaan surah dalam solat istikharah sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam al-Nawawi adalah, pada rakaat pertama dibaca surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua pula surah al-ikhlas. Kedua-duanya dibaca selepas bacaan surah al-Fatihah. Anda boleh membaca surah-surah berkenaan sekali sahaja atau diulang sebanyak tiga kali mengikut keselesaan dan keikhlasan anda sendiri.

Doa

Berikut disertakan doa istikharah sebagaimana yang dicatakan dalam buku al-azkar karang Imam al-Nawawi ra:




Maksud: Ya Allah, sesungguhnya aku beristikharah dengan ilmuMu, dan aku meminta dengan Kudrat dan kekuasaanMu, dan aku bermohon dengan kurniaanMu yang Maha Agung, sesungguhnya Engkaulah yang menentukan segala sesuatu bukanlah diriku ini penentu, dan Engkaulah yang Maha Mengetahui sedang diriku tidak mengetahui, dan Engkaulah sahaja yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Ya Allah, sekiranya Engkau ketahui perkara ini lebih baik buatku, untuk agamaku, kehidupanku dan segala urusanku di dunia dan di akhirat, maka engkau tentukanlah ia untukku, dan permudahkanlah segala urusannya untukku, kemudian engkau berkatilah daku padanya. Namun sekiranya engkau ketahui bahawa perkara ini adalah tidak baik bagiku, untuk agamaku, kehidupanku dan segala urusanku di dunia dan akhirat, maka engkau jauhilah ia daripadaku, dan engkau jauhilah daku daripadanya, sebaliknya engkau tukarkanlah ia dengan ketentuan yang lebih baik untukku di mana-mana, kemudian engkau redha akan daku dengannya pula, wahai tuhan yang maha pemberi rahmat.

Cara berdoa

1. Memulakan dengan puji-pujian kepada Allah
2. Selawat ke atas Rasulullah SAW, keluarganya, sahabatnya dan para pengikutnya
3. Bacaan doa di atas
4. Menyebut perkara yang dihajati (berada dalam kesamaran)
5. Selawat ke atas Rasulullah SAW, keluarganya, sahabatnya dan para pengikutnya
6. Diakhiri dengan puji-pujian kepada Allah SWT.
Semoga mendapat rahmat, pertolongan daripada Allah atas segala niat dan tindakan yang bakal kita ambil. Yang terlebih penting agar ruh agama dan syariat Islam sentiasa segar bak darah yang mengalir dalam diri dan kita tidak terpisah daripadanya melainkan melalui kematian. Firman Allah (Ali Imran:102) “dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam (yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah). Yakni dengan mengikuti dan mengamalkan setiap ajaran Islam dalam menjalani kehidupan di dunia secara total.
Wallahu aklam.





2 comments

15 July 2011 at 11:05

byk pilihan dlm hidup ini memerlukan suatu pilihan yg tepat...moga pilihan kita itu diredai & dirahmatiNya

21 July 2011 at 19:27

iallah
trm skh shbt
ana membuat pilihan untuk masa depan ana
ana harap ini lah usaha ana yang terakhir

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Design by !Aini Zakaria |All right reserved for Village Gurl ©